Personal shopper, mampu buat ‘duit tepi’ beribu sebulan?

/, Tips Kewangan/Personal shopper, mampu buat ‘duit tepi’ beribu sebulan?

Boleh tahan ramai yang tanya Tok soalan ini:

“Macam mana nak cari duit lebih, Tok?”

Dengan adanya sambungan Internet dan laptop (atau smartphone), semakin mudah untuk korang cari duit lebih.

Dan salah satu cara yang ramai orang buat sekarang, adalah dengan menjadi personal shopper.

Bayangkan. Sambil berjalan dekat tempat orang, sambil tu korang boleh jana ‘duit tepi.’ Jemput baca perkongsian ini kalau serius nak tahu.

Semakin hari, servis ini semakin banyak permintaan (demand)?

Sumber gambar – The Telegraph

Sekarang, semakin ramai yang mula berikan fokus kat kerjaya ni di Malaysia. Tak kira sama ada secara part-time atau full-time.

Antara contoh korang boleh tengok seperti personal shopper secara part-time, Cikpuan Nazziatul Hikmah Abd Rahman dan juga Cikpuan Ainul Farahana Mustapha, yang pernah ditemu ramah Bernama ini.

Untuk melihat pasaran ini dalam skala yang lebih besar, korang boleh kaji HonestBee, pembekal perkhidmatan pembelian dan penghantaran barang runcit, makanan, dan pakaian.

Syarikat ini berasal dari Singapura, dan baru kembangkan operasi mereka di tanah air kita. Kalau syarikat lokal pulak, korang boleh kaji HappyFresh, GoGet Malaysia, atau Helpr.my.

Dalam apa-apa bisnes pun, perkara pertama korang kena buat adalah dengan menjawab soalan ini:

“Apa masalah pelanggan yang saya boleh selesaikan?”

Dalam konteks topik ini, personal shopper menyelesaikan masalah berikut:

  • Bantu membeli barangan untuk mereka yang ada kekangan dari sudut masa, tenaga , dan keupayaan (seperti golongan yang sudah berumur, sakit, atau sebagainya).
  • Bantu pelanggan untuk dapatkan barangan rare (susah dapat) di luar Malaysia, pada harga yang lebih berpatutan.

Tok perasan jugak. Pemintaan (demand) untuk servis ini semakin bertambah dari hari ke hari. Dan ini adalah peluang buat ‘duit tepi’ yang tak patut korang lepaskan.

Lebih-lebih lagi kalau korang sendiri kaki shopping. Gunakan kelebihan yang ada dalam diri tu tanpa was-was!

2 jenis personal shopper yang anda patut tahu

Sumber gambar – nyghtly.com

Kalau kita kaji, ada 2 jenis personal shopper dalam Malaysia ni:

  • Personal shopper yang fokus pada produk lokal (tempatan),
  • Personal shopper yang fokus pada produk antarabangsa.

Media sosial seperti Instagram, Facebook, dan YouTube adalah antara contoh ‘senjata utama’ golongan ini. Medium ini adalah tempat mereka buat promosi dan menawarkan perkhidmatan kepada prospek.

Untuk produk tempatan, GoGet dan juga Helpr.my adalah antara syarikat yang menjadi pelopor servis ini dalam Malaysia.

Dan bagi personal shopper yang fokus pada produk antarabangsa, mereka boleh menikmati margin keuntungan yang tinggi dalam mendapatkan barangan yang rare (susah dapat) seperti jenama Supreme atau Adidas Yeezy yang lebih murah di luar negara.

Untuk pembelian barangan seperti ini, personal shopper boleh menikmati margin keuntungan sehingga 50%. Ini sebab, barang yang mereka beli itu akan melalui kastam dan tak dikenakan cukai import.

Mungkin tindakan ini salah dari segi undang-undang. Tapi mereka tak kisah berhadapan dengan risiko ini, sebab kadar keuntungan yang mereka dapat amat tinggi.

Jadi, anda berminat nak jadi personal shopper yang mana satu?

Macam mana nak jadi personal shopper yang power?

Sebelum korang terjun ke dalam bidang ini, korang kena buat market research (kajian tentang pasaran) terlebih dulu.

Antara niche personal shopper yang popular dalam Malaysia, termasuk:

  • Fesyen (lelaki atau wanita),
  • Perabot,
  • Barangan runcit,
  • Makanan,
  • Barang solekan,
  • Barang dapur (seperti pinggan mangkuk Corelle, Pyrex, dan sebagainya),
  • Hadiah, atau lain-lain.

Menurut Tuan Ang Kok Seong (Pengasas syarikat Helpr.my) yang ditemu ramah dalam blog CompareHero.my, kalau produk itu boleh dibeli dalam laman web seperti Lazada atau Zalora, agak susah nak fokus kat produk atau kategori tersebut.

Jalan selamat yang korang boleh buat, adalah mengkaji permintaan (demand) sesebuah produk dan juga lokasi yang bakal menjadi sasaran perkhidmatan korang.

“Kalau lokasi kat kawasan pinggir bandar dan ada permintaan produk atau jenama tertentu, ini boleh jadi strategi yang bagus untuk personal shopper dalam kawasan itu.” – Ang Kok Seong.

Dalam kes Helpr.my, mereka menumpukan kat satu pasaran pembeli – mereka yang berminat untuk dapatkan barangan dan perabot IKEA.

Lokasi pelanggan mereka termasuk Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak, di mana mereka susah nak dapatkan perabot IKEA. Pelanggan luar negara pun, ada jugak.

Strategi yang paling baik sebagai permulaan, adalah fokus pada satu jenis pasaran terlebih dulu seperti yang Helpr.my buat.

Satu lagi. Korang bukan setakat tolong pelanggan beli barang mereka saja ya. Korang jugak bertanggungjawab untuk berikan pendapat pakar, untuk pastikan pelanggan tak tersilap beli dan berbaloi untuk mereka.

7 langkah setup bisnes personal shopper pertama anda

Buat korang yang berminat, jemput hadamkan tip Cikpuan Azliza Wasnin yang Tok baca kat blog TheVocket ni:

Tip #1: Buat kajian tempat yang anda nak pergi

Pertama sekali, korang boleh buat kajian tentang tempat yang korang plan nak pergi.

Contohnya, katakan korang rancang nak pergi ke Osaka, Jepun. Apa barangan yang orang Malaysia cari dekat sana?

Korang boleh sahkan (validate) permintaan ini, dengan bertanya kat prospek di laman media sosial.

Dari sini, korang boleh tahu apa jenis barang yang mereka cari. Dan korang pulak boleh bantu mereka dapatkan barangan ini. Selain tu, korang jugak boleh baca dalam blog travel.

Lepas dah buat ini, teruskan pulak dengan buat perbandingan harga barang tu di luar negara dengan harga dalam Malaysia.

Bila dah buat perbandingan harga, baru korang boleh kira kos termasuk pengangkutan dan penghantaran.

Ini penting, Pastikan harga korang tu berbaloi dan tak menyusahkan diri sendiri semasa nak pulang ke Malaysia. Sebab kebanyakan syarikat penerbangan hadkan sebanyak 2 beg yang boleh dimasukkan ke dalam kargo.

Tip #2: Tentukan masa pre-order untuk pelanggan

Biasanya, personal shopper akan buat iklan servis mereka sebulan sebelum berangkat ke negara yang mereka nak tuju.

Dalam jangka masa ini, mereka akan mengumpul tempahan daripada pelanggan, serta berikan masa untuk mereka jelaskan pembayaran tempahan tersebut.

Semua ini adalah usaha untuk korang buat anggaran berat beg, dan untuk elakkan caj lebihan berat bagasi.

Tip #3: Media sosial sebagai medium iklan ter-power?

Zaman sekarang, cukup senang nak buat iklan. Dan Facebook dan Instagram adalah medium paling popular untuk tujuan murni ini.

Korang boleh iklankan servis ini dekat grup Facebook yang berkaitan dengan travel. Untuk Instagram pulak, korang boleh kongsikan gambar kedai atau barangan yang ada permintaan kat tempat yang korang nak pergi tu.

Cuma, korang kena jaga-jaga. Ada grup Facebook yang tetapkan beberapa peraturan untuk iklankan servis korang tu. Jadi, pastikan korang baca dulu peraturan grup tu.

Tip #4: Masa untuk berunding dengan pelanggan

Dalam dunia bisnes servis ni, korang akan jumpa macam-macam kerenah orang.

Buat korang yang baru nak bekecimpung dalam bisnes ni, ini nasihat berharga yang Tok nak kongsikan kat korang. Sentiasa bersabar melayan dan memahami kehendak pelanggan.

Lebih awesome kalau korang ada pengetahuan yang mendalam tentang sesebuah produk yang pelanggan inginkan. Semua ini akan bantu urus niaga korang berjalan dengan lebih lancar.

Biasanya, korang dan pelanggan akan bertelagah tentang satu perkara – harga upah yang korang kenakan. Yang ini, korang kena pastikan pelanggan rasa berbaloi untuk bayar harga yang ditetapkan.

Dan elakkan melenting bila pelanggan kritik harga upah yang korang kenakan. Ada ramai lagi prospek kat luar sana nak gunakan servis korang. Sentiasa positif, dan jangan cepat melatah. Pastikan korang dan pelanggan dalam win-win situation.

Tip #5: Sediakan maklumat lengkap untuk pelanggan tersayang

Lepas pelanggan bersetuju untuk dapatkan servis korang, bagi tempoh masa pembayaran dan nombor akaun. Pastikan korang dapatkan bayaran sebelum travel dan membeli-belah.

Pastikan jugak korang rekod semua bayaran dan baki bayaran. Catat semua informasi yang berlaku supaya tak timbul sebarang masalah besar kemudian hari. Senang korang nak buat rujukan nanti.

Korang boleh buat kerja ni secara printscreen atau cara sekolah-lama (old-school), dengan mencatit dalam buku nota.

Tip #6: Dekat mana nak beli barang yang pelanggan pesan?

Sebelum korang fly ke negara yang nak dituju, pastikan korang tahu dulu dekat mana nak beli barangan yang pelanggan pesan. Ini akan bantu korang uruskan proses pembelian dengan lancar.

Ambil tahu jugak masa perniagaan kedai yang korang nak pergi. Buat perancangan masa sebaik mungkin.

Kenapa kena buat macam ni? Sebab ada negara yang mempunyai masa perniagaan yang singkat, seperti Australia. Masa perniagaan mereka bermula dari 8 pagi hingga 5 petang saja.

Tip #7: Belajar cara kemas beg yang efektif

Banyak syarikat penerbangan benarkan maksimum 2 beg saja untuk dibawa dalam ruangan kabin, dan 2 beg dalam ruangan kargo pesawat.

Bermakna, korang wajib tahu cara menggunakan ruang terhad dalam setiap beg. Ini 100% bergantung kat kebolehan dan kreativiti korang menggunakan ruang yang ada.

Untuk barangan jenis fragile (mudah pecah, seperti material kaca dan sebagainya), balut dulu barang tu dengan kain atau kertas supaya tak mudah pecah dalam beg.

Kalau pecah, mahu menangis tak berlagu korang nanti. Satu hal pulak nak ganti barang pelanggan tu.

Tip Bonus: Dapatkan pelekat ‘mudah pecah’ dan tampal dekat beg masa mendaftar masuk ke dalam flight.

Ada banyak lagi peluang untuk buat ‘duit tepi,’ dan ini salah satu idea yang korang  boleh buat.

Kalau rajin, korang akan dapat menjana pendapatan lebih. Lepas tu, guna duit ni dan terus beli rumah pertama. Tak perlu buang masa lagi.

Banyak peluang nak buat duit sekarang ni. Berjaya atau tak, bergantung kat kerajinan dan usaha korang jugak. Faham tak apa Tok cakap ni?

By |2018-08-01T14:22:43+00:00August 1st, 2018|Featured, Tips Kewangan|

2 Comments

  1. Lee Aug 1, 2018 at 1:43 pm - Reply

    Hai Tok, tok sihat?

  2. tok dalang Aug 1, 2018 at 2:30 pm - Reply

    Hai tok sihat ajaaa

Leave A Comment