Home Berita Terkini Octagon – Bangunan tertinggi di bandar raya Ipoh dengan 160 unit servis...

Octagon – Bangunan tertinggi di bandar raya Ipoh dengan 160 unit servis apartmen

618
0
SHARE
Sumber gambar: SkyscraperCity
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke

IPOH 29 Nov. – Satu lagi mercu tanda baharu, Octagon yang dibangunkan dengan kos RM70 juta, bakal dibuka sepenuhnya pada pertengahan tahun depan sekali gus menjadikan ia sebagai bangunan tertinggi di bandar raya ini.

Dibangunkan di kawasan seluas 35,000 kaki persegi di Jalan Raja Ekram di sini, bangunan se­tinggi 23 tingkat itu merangkumi kompleks beli-belah selain menawarkan 160 unit servis apartmen.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, Octagon juga bakal menjadi suatu lagi tarikan pelancong­an apabila kawasan sekelilingnya pula akan dibangunkan dengan zon aktiviti kebudayaan.

“Langkah ini selaras dengan perancangan kerajaan negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Perak 2017, apatah lagi Perak telah mendapat pengiktirafan Lonely Planet sebagai antara 10 wilayah yang wajib dilawati di dunia pada tahun depan.”

“Pada tahun 2011, kerajaan negeri telah mengurniakan tanah ini kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) dan projek ini telah dibangunkan oleh One Octagon Sdn. Bhd., jus­teru model kerjasama ini adalah yang terbaik melibatkan kedua-dua pihak,” katanya.

Sediakan ruang perniagaan komersial

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penye­rahan perakuan siap dan pematuhan (CCC) kepada kontraktor projek berkenaan di Octagon di sini hari ini.

Hadir sama Presiden PCCCI, Datuk Liew Siew Yee; Presiden Kehormat Sepanjang Hayatnya, Datuk Lim Kok Cheong, Datuk Liew Sew Yee dan Timbalan Presiden PCCCI, Loh Yuen Keong.

Tapak pembinaan Octagon sebelum ini menempatkan Bazar Yau Tet Shin atau dikenali sebagai ‘Bazar Bulat’ yang diruntuhkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 2001 atas faktor keselamatan.

Bangunan tersebut kemudian dibangunkan semula dengan bentuk oktagon iaitu rajah yang mempunyai lapan sisi dan lapan sudut yang diinspirasikan daripada sejarah Bazar Yau Tet Shin seawal tahun 1961.

Sementara itu, Siew Yee memberitahu, sebanyak 31 ruang perniagaan komersial akan dibuka di tiga tingkat bahagian bawah Octagon dengan tumpuan difokuskan kepada restoran serta kedai makanan dan minuman.

“Sebanyak empat tingkat di tengah-tengah bangunan ini pula akan digunakan sebagai tempat meletak kenderaan. Sementara itu, bermula dari tingkat lapan sehingga ke atas, akan menempatkan servis apartment yang turut disasarkan kepada pelancong.”

“Jadi, keselamatan penghuni di servis apartmen ini adalah terjamin kerana hanya pemiliknya yang memiliki akses kunci, dibenarkan naik ke atas,” katanya.


[Sumber berita asal: Utusan Online]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here