PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Kerajaan sedia tambah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, 5,000 unit lagi bakal dibina

KUALA LANGAT 25 Nov. – Lebih ramai golongan berpendapatan rendah bakal memiliki rumah sendiri apabila kerajaan sedia menambah jumlah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, se­perti yang diumumkannya dalam Bajet 2017 baru-baru ini, seba­nyak 5,000 kediaman jenis itu bakal dibina namun berikutan sambutan amat menggalakkan, jumlah tersebut mungkin ditambah.

“Skim (RMR1M) ini begitu popular. Saya beritahu Pengerusi SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) tadi yang kerajaan sanggup tambah lagi projek ini berikutan sambutan sangat menggalakkan.”

“Ramai yang memohon untuk dipertimbangkan supaya (mereka) dapat memiliki rumah sendiri cuma syaratnya, kena ada tanah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan 10,000 unit RMR1M di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini, hari ini.

Hanya RM230 sebulan selama 25 tahun

Yang turut hadir Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Najib memberitahu, sejak dilancarkan pada 2002, sebanyak 36,000 buah RMR1M telah dibina di seluruh negara.

Menurutnya, skim berkenaan amat bersesuaian dengan rakyat yang berpendapatan rendah disebabkan bayaran balik pinjamannya yang rendah sekali gus tidak membebankan mereka.

“Selama ini mereka (pemohon) bayar RM150 sebulan namun sejak 2015, jumlah tersebut ditambah kepada RM230 sebulan selama 25 tahun.”

“Selepas tempoh berkenaan, rumah itu menjadi hak milik mereka,” ujarnya.

Perdana Menteri sebelum itu meluangkan masa melawat kediaman dua pemohon RMR1M di Kampung Bukit Changgang di sini.


[Sumber berita asal: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *