PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Pertama kali memohon loan rumah? Sebelum apply, baca ini

Dah ada duit, dan tak sabar nak beli rumah pertama?

Nak beli rumah, bukan setakat kena kumpul duit semata-mata. Ada lagi perkara wajib lain yang korang patut ambil kira.

Antara perkara yang patut dapat perhatian penuh korang, adalah hal berkaitan loan rumah.

Ramai yang tak puas hati bila bank tolak (reject) permohonan loan rumah mereka. Cuma, benda ini akan berlaku hanya bila korang tak cukup bersedia.

Dan kalau tak nak berputih mata, elok sangat korang hadamkan perkongsian ilmu hari ini.

Sebelum kira DSR, buat langkah pertama ini dulu

Perkongsian Tuan Izwan Wahab ini akan bantu korang buat persediaan awal untuk membeli rumah.

Nah, Tok tunjukkan contoh yang biasa pihak bank gunakan, untuk mengira jumlah pinjaman yang layak kita terima.

Sistem kiraan ini dipanggil DSR (Debt Service Ratio).

Kalau korang berjumpa dengan pegawai bank bahagian pinjaman perumahan, dan korang ada ilmu pasal ini, mereka lebih suka nak berurusan dengan kita.

Sebab ini akan mudahkan kerja, dan juga senang nak faham penjelasan mereka pasal pinjaman perumahan. Fahamkan DSR, dan ia akan cerahkan peluang korang dapatkan pinjaman perumahan dengan mudah.

Yang pertama, kita boleh kita dulu berapa anggaran ansuran bulanan yang kita kena bayar kat bank.

Cara congak yang paling mudah adalah seperti kat bawah ni :

Jumlah pinjaman (bahagi) 200 = Jumlah anggaran ansuran bulanan yang kena bayar kat bank.

Tuan Izwan juga ada sediakan contoh supaya kita mudah nak faham. Katakan :

  • Jumlah yang kita nak pinjam =
  • RM350,000

Jadi, jumlah anggaran ansuran bulanan kita adalah:

  • Anggaran ansuran bulanan =
  • RM350,000 / 200 =
  • RM1,750

Nota : Ini sekadar cara congak kasar saja. Sebab setiap bank akan caj kadar bunga (interest) yang berbeza. Kalau rujuk pengawai bank pun, mereka akan congak lebih kurang begini.

Katakan, kita ambil RM1,750 ini sebagai jumlah ansuran bulanan pinjaman perumahan kita. Baru kita boleh kira DSR (Debt Service Ratio).

Ini formula mudah cara kira DSR

Formula asas untuk mengira DSR adalah seperti berikut :

DSR = (Hutang bulanan (bahagi) Pendapatan bulanan) X 100

Tuan Izwan bagi kat kita satu contoh. Katakan, kita gunakan maklumat kat bawah ini :

  • Pendapatan bulanan kita = RM3,500
  • Ansuran bulanan kereta = RM450
  • Ansuran bulanan motor = RM250
  • Ansuran bulanan hutang peribadi = RM500
  • Ansuran bulanan kad kredit = RM750
  • Total keseluruhan = RM1,950

Nota : Gunakan hutang yang terkandung dalam sistem CCRIS saja tau. Hutang seperti hutang kawan atau beri duit kat ibu bapa setiap bulan tak termasuk dalam kiraan ini.

Jadi, cara kira DSR adalah :

  • (RM1,950 / RM3,500) X 100% =
  • 55%

55.7% ini adalah DSR semasa korang.

Untuk kira DSR selepas pinjaman, masukkan ansuran bulanan yang kita kira tadi ke dalam kiraan DSR :

  • (RM1,950 + RM1,750 / RM3,500) X 100% =
  • 105%

DSR yang bank akan luluskan setiap bulan adalah kurang daripada 70%. Tapi, ia berubah-ubah mengikut bank.

Kalau nak lebih tepat, semak dengan pegawai bank yang uruskan proses pinjaman kita.

Dengan merujuk contoh kiraan kat atas ini, permohonan ini ada potensi tak lulus dan ditolak oleh pegawai bank. Sebab ia jauh daripada kadar yang dibolehkan.

Boleh tahu harga rumah yang anda mampu beli dengan formula ini?

Katakan, kita gunakan kadar maksimum DSR sebanyak 70% dan gunakan segala info kat atas tadi.

Kita boleh ubahsuai formula DSR supaya fokus kat hutang bulanan kita :

  • Hutang bulanan maksimum = (DSR maksimum / 100%) X Pendapatan bulanan

Ini contoh cara kira yang mudah kita nak faham :

  • Hutang bulanan maksimum = (70% / 100%) X RM3,500 = RM2,450
  • Hutang bulanan maksimum – Total hutang sekarang = Jumlah ansuran bulanan untuk rumah
  • RM2,450 – RM1,950 =
  • RM500

Kita juga boleh congak total pinjaman pinjaman perumahan daripada ansuran bulanan, berdasarkan ‘Rule 200’ kat langkah pertama tadi.

  • Jumlah Ansuran Bulanan X 200 = Jumlah Total Pinjaman Perumahan

Jadi :

  • RM500 X 200 =
  • RM100,000

Dalam contoh ini, kita hanya mampu nak pinjam RM100,000 untuk membeli rumah berdasarkan DSR semasa kita.

Bagaimana pula nak tingkatkan jumlah kadar DSR ini? Rujuk balik formula DSR dan korang akan jumpa jawapan untuk soalan ini.

3 teknik power tingkatkan kadar DSR anda

Kat sini, Tok sertakan sekali beberapa contoh yang boleh tingkatkan kadar DSR kita :

1) Kalau korang ada pendapatan sampingan seperti komisyen ejen insuran (unit trust atau sebagainya), dividen saham, sewa rumah, atau yuran pengarah, korang boleh selitkan dokumen ini semasa memohon pinjaman perumahan.

Pastikan korang berikan dokumen yang sah dan kukuh seperti surat perjanjian sewa rumah, penyata komisyen, penyata dividen, dan penyata bank untuk tempoh 3 hingga 6 bulan.

2) Untuk pinjaman perumahan, bank benarkan 2 nama digunakan. Pendapatan daripada 2 penama ini akan dicampurkan semasa mengira DSR, serta komiten dan jumlah hutang juga akan diambil kira.

Kalau nak tinggikan potensi untuk lulus pinjaman, pastikan penama ke-2 itu mempunyai kadar DSR yang baik.

3) Kita juga boleh kurangkan hutang bulanan sedia ada. Dengan ini, kadar DSR akan jadi bertambah baik dan buatkan pihak bank senang hati nak luluskan pinjaman korang.

Apa jadi kalau DSR anda cun?

Kadar DSR korang dinilai dengan kekuatan, jaminan aset, rekod bayaran pinjaman yang dibuat, dan faktor-faktor lain.

Kalau setiap faktor ini adalah positif, potensi untuk bank luluskan permohonan korang adalah tinggi.

Korang juga boleh berunding dengan pihak bank untuk dapatkan terma dan syarat pinjaman yang lebih baik, seperti mengurangkan kadar bunga (interest) dan bayaran untuk yuran-yuran lain.

Perkongsian ini boleh tolong buat keputusan membeli rumah yang bijak dan bagi untung kat korang, In Shaa Allah.

Dan yang paling best, korang takkan lagi takut nak mulakan tindakan bila dah ada ilmu ini.

Sila SHARE dan panjangkan manfaat ilmu ini kat kawan-kawan korang. Yang takde pengalaman dan plan nak beli rumah tahun depan tu, mesti suka kalau tahu ilmu ni.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  1. Salam Tuan Izwan Wahab,
    Nak tanya…
    1) Kalau saya tak pernah buat apa2 loan mcm mana ye?
    2) Loan apa yg Tuan rekemen utk buat rekod pinjaman? (ASB, PersonalLoan, Kad Kredit, Etc… )
    3) Berapa lama rekod pinjaman diperlukan?

  2. Kalau penama 1 zero commitment, tapi penama 2 ada scoring baik, tak cukup start untuk lulus loan rumah pertama ke?
    Penama 1 kena ada credit card ke untuk tunjuk kredibiliti yang baik? Untuk lulus loan?

  3. Benarkan utk rumah belum siap,
    Selepas lulus loan pinjaman,
    Kita terus kena bayar yuran bulanan kepada pihak bank