PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Bina Puri bina projek PPR bernilai RM80 juta di Sabah.

Anak syarikat Bina Puri Holdings Bhd. (Bina Puri), Bina Puri Sdn. Bhd. mengesahkan penerimaan untuk terlibat dalam projek pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pitas, Sabah dengan nilai kontrak RM80 juta.

Menurut syarikat itu di Bursa Malaysia, Bina Puri akan berpe­ranan sebagai penasihat pengurusan bagi projek tersebut untuk kerja-kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan 440 unit rumah pangsa lima tingkat serta kerja-kerja berkaitan dengannya.

Jelas syarikat itu lagi, kontrak kerja-kerja tersebut dianuge­rahkan oleh Arus Sutera Sdn. Bhd. dan tempoh kerja tersebut dijang­ka siap dalam tempoh 42 bulan.

“Projek ini dijangka memberi pulangan yang positif dari segi aset bersih dan pendapatan kepada Bina Puri Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.”

“Tiada dalam kalangan pengarah, pemegang saham utama syarikat dan individu yang berkaitan mempunyai apa-apa kepentingan secara langsung atau tidak langsung terhadap perkara ini,” menurut syarikat itu dalam maklumannya di sini hari ini.

Nilai terkini saham Bina Puri.

Saham syarikat itu ketika ini didagangkan sekitar RM0.40 sesaham menjadikan nilai pasarannya RM95.62 juta.

Pada 25 Julai lalu Bina Puri mengumumkan usaha sama dengan PPES Works (Sarawak) Sdn. Bhd. bagi membentuk sebuah konsortium, PPESW-BPSB JV yang telah menerima surat penganugerahan daripada Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak bernilai RM1.35 bilion.

Tempoh kontrak itu adalah selama 47 bulan dari tarikh surat penganugerahan. PPESW-BPSB JV dimiliki 70 peratus oleh PPESW manakala 30 peratus lagi oleh Bina Puri.

Menurut Bina Puri lagi, penambahan kontrak di Sarawak itu membolehkan syarikat itu mengaut RM480.66 juta nilai projek untuk sepanjang tahun 2016.

(Sumber asal: Utusan Online)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *