PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

9 agen hartanah ini kongsi beli rumah pertama

Bukan mudah nak buat keputusan untuk membeli rumah. Lagi-lagi masa nak beli rumah pertama.

Ini mungkin salah satu keputusan kewangan yang terbesar dalam sejarah hidup kita.

Agen hartanah boleh membantu dalam proses membuat keputusan, tapi tak ramai yang boleh adaptasi selari dengan matlamat kita.

Mereka pula lebih fokus nak ‘close sale’, sebab nak dapatkan komisyen jualan.

Tak dapat nak nafikan, mereka sediakan perkhidmatan yang penting. Jadi, macam mana nak pastikan mereka benar-benar ikhlas nak membantu kita?

Hakikatnya, tak semua agen begitu.

Tok ada baca satu artikel kat blog iProperty pasal 12 tip beli rumah pertama daripada agen hartanah Malaysia, yang Tok rasa wajib kena kongsi kat korang.

Tip #1: Kaji dan pilih lokasi yang strategik

Tip pertama ini adalah hasil nukilan Tuan Lim Ah Leck, agen hartanah untuk syarikat Tiram Realty.

Kita boleh buat ini terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan agen hartanah.

Mula-mula, kaji lokasi rumah yang kita nak beli dan lawat kawasan itu untuk mudahkan proses membuat keputusan.

Pada masa yang sama, ia juga bergantung kat matlamat yang kita nak capai.

Sebagai contoh, katakan korang nak beli rumah sebab nak duduk dekat dengan tempat kerja.

Kaji sama ada kawasan itu ada akses yang mudah ke lebuh raya, atau dekat dengan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, atau KTM.

Lepas tu, baru kecilkan skop pilihan dengan tentukan bajet yang boleh kita keluarkan.

Kat negara ini, biasanya pembeli rumah kali pertama layak dapatkan 90% margin pinjaman gadai janji.

Selain itu, kita juga kena sediakan dalam 20% ke 30% (daripada harga jualan rumah) untuk bayar duit muka, yuran guaman, setem duti, dan bayaran lain yang berkaitan dengan loan yang kita buat.

Tip #2: Target untuk beli rumah atas tanah (landed property)

Ini pula tip daripada Tuan Michael Thiruchelvam Sebastian, pengetua M.S. Properties.

Beliau nasihatkan supaya pembeli pertama kali letakkan rumah atas tanah (landed) sebagai matlamat. Tak kisah sama ada rumah teres setingkat, 2 tingkat, atau rumah banglo (kalau ada modal yang cukup).

Pembeli pertama tak digalakkan membeli rumah kondominium atau apartmen.

Walaupun harga rumah atas tanah lebih mahal berbanding kediaman ‘high-rise’, ia ada kelebihan dari segi hakmilik individu untuk setiap unit yang dibeli.

Hakmilik strata untuk rumah seperti apartmen dan kondominium biasanya lambat, dan ini boleh jadi sebab bank menolak permohonan pinjaman kita.

Pihak bank bergantung kat status rumah yang kita nak beli itu, untuk luluskan permohanan pinjaman dengan cepat.

Kalau korang nak cepat dapatkan pinjaman, pilih untuk beli rumah atas tanah.

Tip #3: Nikmati fleksibiliti pinjaman perumahan yang ada

Ramai pembeli kali pertama tak mampu nak beli hartanah. Lebih-lebih lagi kat kawasan Klang Valley.

Tapi, ini bukan sebab yang buatkan kita tak layak nak membeli rumah.

Bawah ini adalah 3 kelebihan yang korang boleh gunakan:

  • Kalau korang masih muda, pinjaman perumahan boleh dihenjut sehingga 35 tahun (maksimum). Ini akan buatkan bayaran bulanan jadi rendah, dan korang boleh beli rumah idaman korang tu.
  • Untuk pembeli kali pertama, margin kewangan yang bank berikan adalah sebanyak 90%. Dan ini buatkan bayaran pendahuluan lebih murah (pada 10% daripada harga jualan).
  • Dapatkan skim gadai janji yang fleksibel, supaya korang boleh bayar balik pinjaman dan bayar baki tertunggak dalam masa yang singkat.

Kalau masih tak mampu, mula ambil tindakan dengan selesaikan ansuran kereta korang. Dalam banyak kes, ini adalah faktor utama yang kacau perbelanjaan bulanan ramai orang.

Oh ya, ini tip daripada Tuan KL See, pengarah Metro Homes Group.

Tip #4: Beli rumah ikut kemampuan

Membeli rumah adalah satu tanggungjawab yang besar.

Dan keputusan membeli ini akan mempengaruhi sebahagian besar hidup kita.

Pembeli yang ikut nafsu semata-mata ada potensi untuk gagal mendapatkan pinjaman perumahan daripada pihak bank.

Untuk elakkan perkara ini daripada berlaku, tentukan terlebih dahulu jumlah pinjaman yang korang layak dapatkan daripada bank, sebelum buat keputusan membeli.

Terima kasih kat Tuan William Yap, pengurus Era Network (KL) Sdn. Bhd untuk tip berharga ini.

Tip #5: Buat ‘kerja rumah’ anda

Ini pula tip Tuan Dr. Lee Ville, pengurus New Bob Realty.

Ramai yang akan kongsikan pandangan mereka, bila tahu kita dalam perancangan nak membeli rumah.

Ini yang buatkan kita pening kepala. Sebab banyak input yang masuk ke dalam kepala kita.

Salah satu cara untuk kurangkan pening kepala, adalah dengan tak ambil kata-kata mereka secara membuta tuli, serta menapis setiap maklumat yang kita terima dengan berhati-hati.

Dapatkan nasihat daripada orang yang pakar dalam bidang ini. Itu jalan paling selamat yang kita boleh buat.

Kalau tak tahu, tanya terus kat ejen yang ada reputasi baik dalam industri.

Boleh juga kalau nak tanya kat orang yang lebih berpengalaman dalam bidang ini.

Ada ramai pelabur hartanah kat negara ni, yang ada portfolio yang cemerlang dalam industri. Kita boleh rujuk kat mereka.

Elakkan buat keputusan berdasarkan khabar angin yang belum pasti.

Lebih baik kaji dahulu trend dan pasaran semasa hartanah sebelum ambil apa-apa keputusan.

Kajian secara terperinci boleh selamatkan korang bila nak membeli hartanah nanti.

Tip #6: Mulakan secara kecil-kecilan dahulu

Membeli rumah adalah langkah pertama untuk membina kewangan kita.

Tapi, kalau salah buat, ia boleh susahkan diri kita sendiri.

Adalah baik mulakan pelaburan hartanah dengan modal yang ada kat tangan kita dahulu.

Tak salah mulakan secara kecil-kecilan sebagai permulaan, sebelum membeli hartanah yang lebih besar dan baik pada masa depan.

Kadar faedah dijangka akan meningkat daripada tahun ke tahun.

Periksa dan kaji kadar faedah ini untuk elakkan sebarang krisis kewangan, yang akan jejaskan prestasi bayaran bulanan untuk pinjaman perumahan yang kita buat.

Tip #7: Jawab soalan ini: “Adakah aku dah bersedia nak beli rumah?”

Tiba masa Tuan Hj. Abdul Razak bin Mohamad, pengarah Hartanah Consultants (Estate Agency) Sdn. Bhd. pula kongsikan tip beliau ini.

Lupakan dahulu segala jargon seperti status leasehold, freehold, apartmen, kondominium, KLIBOR, DIBS, atau lain-lain.

Yang utama sekali, fikirkan dahulu sama ada kita benar-benar dah mampu nak beli rumah, dan benar-benar bersedia nak jadi pemilik hartanah.

Sebab 2 perkara ini perlukan komitmen yang besar.

Kira dahulu kemampuan kita dengan mengira jumlah hutang perumahan berbanding nisbah pendapatan, supaya tak lebih daripada 33%.

Hutang gadai janji pula, tak kurang 28% daripada pendapatan bulanan kita.

Pembeli kali pertama digalakkan mengkaji perkara ini dahulu sebelum buat sebarang keputusan. Pastikan yang kita layak dan benar-benar mampu sebelum membeli atau menyewa sesebuah rumah.

Tip #8: Jimatkan duit dengan memilih lokasi yang tepat

Ada banyak faktor dalam memilih lokasi hartanah yang tepat, seperti:

  • lokasi tempat kerja,
  • lokasi tempat kerja pasangan,
  • jarak antara sekolah ke rumah, atau lain-lain faktor yang berkaitan.

Kalau korang pilih hartanah yang jauh daripada tempat kerja, ia akan jadi punca perbelanjaan meningkat.

Kos minyak dan tol untuk ke tempat kerja akan terkesan secara negatif.

Lebih baik pilih rumah yang dekat dengan kemudahan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, atau KTM. Supaya kita boleh jimatkan kos pergi balik kerja dan masa.

Ini adalah tip daripada Tuan Madhavan Nambiar, pengurus Country Properties.

Tip #9: Tak perlu tergopoh-gapah dalam membuat keputusan

Dah banyak kes yang ramai orang membeli rumah secara terburu-buru.

Dan biasanya, mereka tak buat kajian dan berbincang dengan ahli keluarga.

Ini adalah tanggungjawab yang dipikul oleh pembeli.

Korang sendiri kena buat kajian terperinci tentang rumah, lokasi, dan proses pembiayaan sebelum bertindak membeli sesebuah rumah.

Ada beberapa perkara yang pembeli boleh kaji terlebih dahulu:

  • nilai pasaran semasa rumah (untuk elakkan ‘overpaying‘),
  • hal-hal berkaitan hakmilik hartanah, seperti sebarang sekatan dalam hakmilik, bebanan, dan lain-lain,
  • karakteristik lokasi hartanah (survei kawasan perumahan dan tengok sama ada kawasan itu kerap berlaku jenayah, dekat dengan kolam pengoksidaan, terdedah kepada masalah banjir, dan lain-lain),
  • kondisi fizikal rumah (contoh: kerosakan binaan rumah, pengubahan kat struktur bangunan secara haram, dan lain-lain),
  • buat kira-kira secara spesifik (tapi tak perlu buat lebih-lebih. Cukup sekadar jelas dengan apa yang penting dah memadai).

Tip terakhir ini berasal daripada Sr Michael K.K. Kong, penilai berdaftar, McReal International Sdn. Bhd.

Tok harap, korang gunakan semua tip atas ni sebelum buat keputusan membeli hartanah nanti.

Niat Tok cuma nak membantu saja. Kalau ada yang tersilap dan terkurang, harap korang boleh maafkan Tok ya.

Apa-apa pun, Tok doakan korang supaya cepat-cepat dapat beli hartanah. Tak kira untuk duduk sendiri, atau untuk pelaburan. Salam kejayaan daripada Tok yang serba-serbi dhaif ini.

Nak beli rumah bukannya terus boleh main beli. Perlukan ilmu dan faham hartanah yang macam mana nak beli. Tak boleh main terjun je beli hartanah. Nanti tersalah jalan, boleh pening bertahun – tahun lamanya. Tak salah pun menyewa. Kita sendiri tahu kemampuan kewangan kita.

Sebagai penyewa, kita haruslah tahu apa hak – hak kita sebagai penyewa dan juga macam mana nak untung dengan menyewa.

Ebook terbaru GilaHartanah ini adalah PERCUMA buat masa yang terhad! Jom dapatkan sekarang. Klik gambar di bawah sekarang kalau anda nak dapat ebook ini.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

ebook terbaru GH
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *