PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Wanita ini pernah berhutang $40,000 dan berjaya jadi jutawan sebelum 30 tahun. Ini 7 tip personal beliau yang anda boleh gunakan segera

Hidup ini tak selalunya indah.

Ada hari, kita boleh bersenang-lenang. Ada hari juga, hidup kita akan ditindih oleh pelbagai jenis masalah.

Tak perlu kita pandang masalah ini sebagai penghalang. Setiap halangan pengalaman berharga, dan pengalaman adalah cikgu yang terbaik dari ladang.

Sebab Tok sayang korang, Tok nak kongsikan cara Carol Roth uruskan masalah beliau dan akhirnya, berjaya capai status jutawan sebelum mencecah umur 30 tahun.

Semoga kisah ini jadi iktibar dan pembakar semangat korang untuk terus berjuang. Ikuti tip yang penuh bermanfaat ini.

Kisah hidup Carol yang akan buatkan anda beremosi

Saya berasal daripada keluarga yang sentiasa bergelumang dengan pelbagai masalah kewangan.

Hidup keluarga saya biasa-biasa saja. Ayah saya bekerja sebagai seorang jurueletrik. Mak saya pula suri rumah, yang kemudian tukar karier jadi seorang usahawan.

Walaupun dua orang tua saya ada kerjaya masing-masing, kewangan keluarga kami selalu ada masalah.

Semasa saya masih lagi remaja, mak ayah saya mula tinggal berasingan, dan akhirnya bercerai.

Penceraian ini menambah tekanan kat masalah kewangan sedia ada. Sebab ini, saya sedar yang mereka ada masalah untuk tanggung pembelajaran saya kat kolej nanti.

Saya berjaya tamatkan pengajian kat salah satu universiti terkenal dalam negara (The Wharton School of Business, University of Pennsylvania) pada tahun 1995.

Walaupun berjaya lulus dengan gred yang cemerlang (Ivy League), saya masih ditekan dengan bebanan hutang kolej sebanyak $40,000.

Masalah ini buatkan saya sedar, yang saya kena buat sesuatu untuk selesaikan hutang ini.

Saya mula tetapkan matlamat.

Dalam masa kurang 8 tahun, saya nak ubah hidup yang sarat dengan hutang ini dan jadi seorang jutawan.

Dengan 7 cara ini, saya berjaya capai matlamat dan kehidupan yang saya idamkan.

#1: Tetapkan objektif dengan jelas dan spesifik

Ini adalah perkara yang paling utama yang ramai orang yang terlepas pandang dan terlalu ambil mudah.

Kalau tak ada matlamat, amat mudah untuk kita tersesat.

Matlamat pula perlu jelas, spesifik, dan penuh beremosi.

Bermakna, kita tetapkan satu tempoh masa yang logik dan tak terlalu mustahil untuk dicapai, beserta pelan tindakan yang perlu dibuat.

Emosi pula membantu kita dari sudut mengekalkan tenaga minda dan fizikal untuk teruskan penjuangan.

Matlamat saya adalah mencapai angka 1 juta pertama sebelum cecah umur 30 tahun.

Saya tetapkan matlamat ini sebab saya tak ada duit yang cukup untuk membantu keluarga. Dan saya dah tak sanggup hidup dalam keadaan yang selalu tak cukup duit.

Saya sedar. Kalau ada 1 juta dalam bank, saya boleh ambil lebih banyak risiko, ada kelebihan dari segi fleksibiliti dan kurangkan stres berkaitan bab kewangan.

Pengalaman selama ini benar-benar mengajar saya, dan saya jadikan sebagai sumber pembakar semangat.

Ada orang kata, matlamat saya ini mustahil untuk dibuat. Tapi bagi saya, ia masih logik untuk dicapai.

Saya ajar diri saya supaya terus-menerus bersikap positif, dan tak ambil endah pandangan negatif orang lain.

Situasi dunia sekarang yang sarat dengan teknologi, dah berjaya lahirkan sejumlah jutawan pada usia yang sangat muda. Tapi ia amat berbeza dengan situasi saya.

Tahun 1995, belum ada lagi smartphone. Bahkan saya tak berpeluang untuk membeli telefon bimbit masa itu.

Saya juga tak ada komputer. Kalau perlu guna, saya akan ke makmal komputer kat kolej untuk buat kerja.

Pendedahan kat Internet pun jadi hal juga. Saya hanya mula gunakan Internet semasa mula bekerja lepas habis belajar.

Saya latih diri supaya tak pandang semua masalah ini sebagai halangan. Sebab saya cukup jelas dengan matlamat yang saya nak capai.

Dengan matlamat yang jelas dan spesifik, ia jadi penanda aras (benchmark) untuk saya lakukan perkara yang perlu. Berputus asa bukan salah satu pilihan.

#2: Sambar peluang kerja (dan tawaran gaji) yang terbaik

Langkah seterusnya adalah mencari kerja yang berikan bayaran gaji yang lumayan.

Pada masa yang sama, ia bantu membina skil yang boleh saya manfaatkan untuk jangka masa panjang.

Saya pilih untuk bekerja dalam industri kewangan korporat (perbankan dan pelaburan). Banyak yang saya belajar sewaktu bekerja dalam industri ini.

Untuk tahun pertama, saya dibayar sebanyak $85,000 (dan ini adalah satu jumlah yang sangat baik). Dan ia tak berhenti setakat itu saja.

Ia berkembang dan mencapai jumlah 6 angka pada tahun berikutnya.

Saya bukan sekadar memiilih karier yang betul saja. Saya juga memilih untuk bernaung kat bawah syarikat yang baik dalam industri.

Kalau ikutkan hati, nak saja saya bekerja dengan syarikat seperti Goldman Sachs. Dah tentu gaji saya lebih banyak. Tapi saya tak pilih jalan mudah ini.

Sebab saya sedar, jalan mudah bukan satu jawapan.

Jadi, saya pilih untuk bekerja kat sebuah boutique firm yang amalkan persekitaran dan sistem meritokrasi (dalam bahasa mudah, sistem yang menyanjung seseorang kerana kebolehan, bukan atas sebab keturunan atau kekayaan).

Banyak pengalaman dan ilmu berguna yang saya boleh dapatkan dengan bekerja dalam syarikat ini. Dan ia jelas tak buatkan saya rugi.

#3: Sentiasa bekerja keras

Bila dah berjaya dapatkan kerja, saya letakkan 100% fokus kat karier.

Pendek kata, saya bekerja macam orang gila.

Setiap minggu, saya akan bekerja 16 hingga 18 jam setiap hari. Kadang-kala, hari minggu pun saya akan bekerja.

Dan saya kerap bekerja hingga larut malam. Saya tak kisah, sebab saya tahu ini yang perlu saya buat untuk capai matlamat saya.

Hidup ini terlalu pendek untuk kita bazirkan begitu saja. Selagi ada peluang, saya akan bekerja dan terus belajar tanpa kenal erti penat.

#4: Kerap promosikan diri sendiri

Rugi kalau kita biarkan segala usaha dan kerja keras kita tak mendapat perhatian yang wajar.

Semasa bekerja, saya kerap ingatkan tim dan pihak atasan tentang segala kerja yang dibuat. Saya juga sentiasa kongsikan jangkaan yang saya nak capai bila jalankan sesuatu tugasan.

Saya tak ambil mudah dan kerap berkomunikasi dengan mereka, supaya segala hasil kerja saya mendapat perhatian mereka.

Bila dapat tugasan yang lebih mencabar, saya akan bertanya dulu sebelum ambil sesuatu tindakan. Dan ini adalah salah satu sebab saya boleh naik pangkat dengan cepat.

Ya, saya orang yang suka promosikan diri sendiri. Biar apa orang lain nak kata, janji saya boleh buat duit lebih banyak dengan cepat.

Ini berjaya tingkatkan pendapatan saya dalam masa yang singkat.

Nak tahu tak?

Saya naik pangkat menjadi Naib Presiden syarikat pada umur semuda 25 tahun. Dan ini adalah satu perkara yang baik.

Saya berjaya kurangkan tempoh untuk capai matlamat saya kesan daripada ini.

#5: Kawal perbelanjaan dengan ketat

Ada pepatah yang keluar daripada mulut ayah saya, yang tak akan saya lupakan sampai bila-bila:

“Amalkan gaya hidup berjimat, dan hidup kamu pasti selamat”.

Gaya hidup yang berlebih boleh jadi sebab seseorang itu jatuh miskin.

Contohnya, bukan kita tak boleh pakai baju yang tak berjenama. Kenapa kena pilih pakai pakaian yang harga menggila, padahal ia cuma baju saja?

Kalau mampu, lain cerita.

Saya hanya menyewa rumah konsep studio. Padahal, ramai kawan sekerja saya yang menyewa rumah yang ada 2 dan 3 bilik tidur.

Buat apa bayar sewa rumah yang banyak? Saya pula tak selalu ada kat rumah sebab selalu ada kat pejabat. Buat rugi duit saja.

Bab perabot pula, saya hanya gunakan kreativiti. Meja kat sisi katil, saya hanya gunakan kotak kadbod yang dibentang kain sebagai alas.

Saya tak melanggan kabel televisyen. Saya hanya gunakan khidmat bas untuk ke tempat kerja.

Saya selalu makan kat pejabat. Bila nak keluar pula, saya akan tetapkan bajet khas dan ikut bajet itu supaya tak terlebih berbelanja.

Gaya hidup ini banyak jimatkan duit saya dengan banyak. Gaji saya tak banyak terusik. Jadi, boleh saya capai 1 juta pertama saya dengan cepat.

#6: Langsaikan hutang secepat mungkin

Kadar bunga (interest rate) pada masa dulu agak tinggi berbanding sekarang. Saya tak boleh ingat dengan tepat, tapi ia sekitar 6 hingga 9% (tak silap saya).

Hutang boleh jadi beban kalau tak selesaikan dengan cepat. Ia akan disimpan sebagai rekod kewangan peribadi dan ini adalah salah satu sebab pihak bank susah nak berikan pinjaman.

Dan tambahan pula, selagi tak selesaikan hutang, selagi itu ia akan kacau usaha kita menyimpan duit untuk buat sebarang pelaburan.

Masa dah mula bekerja, saya gunakan gaji saya untuk langsaikan hutang pinjaman kolej secepat mungkin. Saya buat ini lepas selesai buat bajet setiap bulan.

Pendekkan cerita. Saya berjaya lenyapkan hutang (berjumlah $40,000) ini pada Disember 1996, setahun setengah lepas tamatkan pengajian tinggi.

#7: Lebihkan fokus kat masa depan daripada masalah sedia ada

Tak semua perkara akan berjalan lancar sepanjang perjalanan kita menuju ke puncak kejayaan.

Salah satu pengalaman buruk saya adalah pinjamkan $40,000 kat seorang yang rapat dengan keluarga saya (kalau tak silap, sekitar tahun 1997).

Dan ia berlaku semasa saya mula nak menyimpan untuk tujuan pelaburan.

Nak jadi cerita, orang ini hilangkan diri dan saya hanya dapat bayaran yang sikit saja. Lebih kurang sebahagian daripada jumlah yang saya bagi pinjam.

Tapi, saya tak biarkan perkara ini mengganggu fokus saya. Rugi kalau biarkan masalah ini menghantui hidup saya.

Lebih baik lagi saya tumpukan perhatian kat masa depan dan kat perkara yang boleh saya kawal.

Dengan gaya fikir (mindset) ini, saya berjaya juga mencapai matlamat saya.

Saya berjaya capai status jutawan dan lebih baik lagi, saya berjaya kumpul lebih daripada 1 juta dalam akaun bank.

Bersikap fleksibel dalam apa jua situasi yang menyerang

Saya akui, ini adalah salah satu sebab yang buatkan saya berjaya mencapai status jutawan.

Ada masa, pelan tindakan kita tak boleh sesuai dipakai. Kalau teruskan juga, ia mungkin berpotensi leburkan impian kita.

Jadi, sentiasa bertindak mengikut keadaan semasa dan buat keputusan dengan sebaik mungkin.

Pelan tindakan berfungsi sebagai petunjuk jalan saja. Hakikatnya, ada macam-macam lagi jalan yang bawa kita menuju matlamat yang sama.

Tak perlu susah hati kalau strategi pertama tak berjaya. Masih ada lagi 2, 3, dan seterusnya.

Yang penting, jangan mudah berputus asa.

Formula ini, semua orang boleh guna. Tak kira apa jenis matlamat yang kita nak capai. Tak ada siapa yang tak berhak untuk jadi kaya.

Tok boleh cakap, dunia sekarang semakin sukar untuk orang muda tempuh.

Tapi, sampai bila kita nak biarkan nasib mengawal kita?

Kalau tak mulakan sekarang, memang lambat kita nak berjaya. Masa bukan kawan baik kita. Ingat ini selalu ya.

Tak bermakna korang tak ada peluang nak jadi kaya-raya. Selagi ada usaha, korang pasti boleh berjaya.

Tumpukan perhatian dan buka minda. Buat apa yang perlu, tabahkan diri dan kuatkan semangat. In Shaa Allah, korang boleh dapat.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *