PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

5 cara sempoi buat duit dengan rumah duduk sendiri

“Rumah duduk sendiri pun boleh buat duit?”

Ya, memang boleh buat duit. Cuma kalau korang bandingkan dengan rumah pelaburan, memang tak sama la perginya.

Tapi walaupun tak serupa, takde siapa yang boleh sangkal kenyataan kat atas tadi.

Ramai yang ingat rumah duduk sendiri adalah sekadar sebuah liabiliti semata-mata. Tok nak tukar mindset yang tak betul tu sekarang.

Kalau korang serius nak belajar, hadamkan segera perkongsian Cikpuan Rohaniah Noor ini.

Lain padang, lain belalang

Memang cara memilih rumah untuk tinggal sendiri dan untuk pelaburan sangat berbeza.

Bagi rumah untuk duduk sendiri, kita akan ambil kira faktor keselesaan diri dan keluarga terlebih dulu sebelum benda lain.

Lain pulak kalau korang nak beli rumah untuk tujuan pelaburan. Korang kena tolak citarasa peribadi macam tadi tu siap-siap.

Yang penting untuk korang ambil kira adalah nilai pasaran, kadar permintaan, dan juga lokasi yang strategik. Ini asas yang semua orang patut tau.

Dengan kata lain, korang kena ambil kira citarasa prospek korang terlebih dulu. Mereka yang nak tinggal dekat situ, bukan korang.

“Rugi buat duduk sendiri. Ansuran bulanan, patut penyewa yang tanggung”

Boleh ke kita buat duit dengan rumah yang kita diami sendiri? Adakah rumah macam ni hanya sekadar sebuah liabiliti semata-mata?

Tak mustahil nak buat duit dengan rumah duduk sendiri. Rumah tetap sebuah rumah, dan pasti akan ada kenaikan nilai modal (capital appreciation) pada masa akan datang.

Ini antara tip yang korang boleh gunakan:

#1: Sambil duduk dalam rumah sendiri, boleh buat duit? 

Rumah yang bertanah adalah rumah yang dibina terus di atas tanah.

Contohnya seperti rumah teres, semi-D, rumah kluster, atau banglo.

Rumah macam ni ada potensi untuk dapatkan kenaikan modal yang jauh lebih tinggi berbanding hartanah strata seperti kondominium, apartmen, atau rumah pangsapuri.

Lagi-lagi kalau tanah untuk tujuan pembangunan di sesuatu kawasan tu menjadi semakin terhad.

Ini punca utama yang jadikan nilai pasaran tanah tu semakin tinggi.

#2: Dapat kawasan cun, senang gila rumah naik harga gila-gila

Semasa memilih lokasi, pastikan korang tak pilih mengikut spesifikasi korang semata-mata. Pendek kata, jangan syok sendiri.

Cara yang terbaik adalah, korang ambil kira sekali apa yang orang lain cari.

Cari rumah duduk sendiri macam korang nak cari rumah untuk tujuan pelaburan. Layan diri korang macam korang sendiri seorang “penyewa.”

Contohnya, korang boleh cari rumah yang dekat dengan tempat kerja seperti di kawasan bandar, kolej, universiti, atau bangunan kerajaan.

Bila rumah dekat dengan tempat kerja, sah-sah korang dapat jimatkan banyak kos seperti perbelanjaan petrol dan tol, selain jimatkan masa ke tempat kerja.

Selain tu jugak, korang boleh cari rumah yang dekat dengan pasaraya, sekolah, dan kemudahan asas lain yang turut dicari oleh pembeli lain.

Tak semua orang sanggup tinggal di sebuah banglo indah di kawasan pinggir bandar.

Tak seronok jugak kalau tinggal kat rumah yang sangat selesa, tapi nak beli garam atau gula kat kedai runcit pun dah makan 8 hingga 10 kilometer.

Cuma, lokasi macam ni memang sedap untuk duduk sekali dengan keluarga. Jauh daripada haruk-pikuk suasana bandaraya.

Biasanya, ini yang menjadi penarik minat prospek untuk duduk di kawasan macam tu.

Nota: Bila ada lebihan permintaan (demand) daripada penawaran (supply) di kawasan yang sama, harga rumah akan melambung lebih tinggi berbanding biasa.

#3: Ramai beli rumah dekat kawasan yang sedang membangun. Kenapa?

Biasanya, orang yang nak beli rumah mempunyai bajet yang terhad.

Jadi, mereka membeli rumah yang berada di kawasan pinggir bandar utama, memandangkan harganya yang masih berpatutan.

Contohnya trend terkini, ramai rakyat Malaysia suka membeli rumah bertanah di lokasi seperti Semenyih, Nilai, Senawang, Dengkil, Salak Tinggi, Rawang, Sungai Buloh, atau Pajam.

Tapi, kalau korang nak buat duit dengan rumah yang korang duduk sendiri tu, sebaiknya beli dekat kawasan yang sedang mengalami pembangunan.

Kawasan macam ni ada potensi untuk dibangunkan menjadi bandar utama satu hari nanti.

Dan dah tentu nilai pasaran rumah dekat kawasan ni akan turut sama meningkat naik, seiring dengan pembangunan bandar itu sendiri.

Sebagai contoh, pada tahun 2008, rumah semi-D di Bandar Bukit Mahkota dijual pada harga RM210,000 je.

Namun sebab pembangunan bandar menuju ke selatan Lembah Klang, sekarang semi-D dekat sana dijual dengan harga RM450,000.

#4: Tak semua renovation boleh henjut nilai rumah jadi tinggi

Ubah suai dan naik taraf rumah boleh meningkatkan nilai hartanah yang dibeli.

Contohnya, dengan memasang jubin di semua lantai atau dinding bilik air, memasang kabinet dapur, menambah bilangan bilik air atau luaskan dapur.

Harus diingat. Hanya ubah suai atau kerja-kerja naik taraf yang melekat tetap pada rumah dan tanah je, yang akan menaikkan nilai hartanah.

Kalau ubah suai tu boleh dipindah-pindah atau dilekatkan secara sementara, takkan berikan apa-apa kesan kepada nilai hartanah.

Contohnya, kalau korang tukar perabot atau gantung lukisan yang mahal. Yang ni takkan bagi kesan ke atas peningkatan nilai pasaran rumah tu.

#5: Jual atau refinance? Dua-dua boleh dapat selambak duit

Masa berlalu, dan nilai pasaran rumah korang semakin meningkat. Sama jugak dengan pendapatan isi rumah korang sebab kenaikan pangkat atau perniagaan yang semakin berkembang.

Sebab tu, korang boleh menimbang untuk menjual rumah tu dan berpindah ke rumah yang lebih besar atau lebih selesa.

Tapi kalau korang sayangkan rumah tu, atau memang dah rancang nak tinggal dekat situ sampai bila-bila, korang boleh buat pembiayaan semula (refinancing) berdasarkan nilai semasa rumah tu.

Dengan cara ini, korang akan dapat nikmati keuntungan modal yang tinggi. Duit tu pulak, korang boleh gunakan sebagai:

  • Deposit rumah baru,
  • Tampung majlis perkahwinan anak,
  • Kos pengajian tinggi mereka,
  • Atau sekadar simpanan untuk menampung kehidupan korang lepas pencen nanti.

Kalau korang tak berhasrat untuk jual atau buat pembiayaan semula pun, korang boleh terus tinggal dekat rumah tu dan nikmati dengan aman dan selesa, sambil melihat nilai rumah semakin meningkat.

Korang tak rugi apa-apa pun bila beli rumah untuk duduk sendiri. Sebaliknya, korang tetap untung. Pembeli baru tu takkan dapat harga rumah tu macam masa yang korang beli dulu.

Tak bermakna korang beli rumah untuk duduk sendiri, langsung takde sebarang kelebihan. Tapi memang takkan sama dengan kelebihan yang ada dekat rumah untuk pelaburan.

Dia macam epal dan pisang. Dua-dua buah, tapi tak serupa.

Sebelum korang buat keputusan nak beli rumah untuk pelaburan atau duduk sendiri, fikir masak-masak dulu. Rujuk balik tujuan asal sebab apa korang nak beli rumah tu.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *