3 tip pilih servis Internet yang tepat (dan elak daripada rugi)

Korang ada masalah nak pilih pelan Internet yang bagus untuk rumah anda?

Ada berlambak pelan Internet di Malaysia sekarang.

Ada UniFi, Maxis Fibre Internet, P1, dan macam-macam lagi. Tok sendiri pernah pening kepala nak pilih pelan yang mana satu ketika dulu.

Kalau tak pilih dengan betul, ia boleh susahkan diri kita sendiri kelak. Kebanyakan pelan Internet mengikat pengguna dengan kontrak untuk jangka masa yang agak lama.

Kali ini, Tok nak kongsikan tip Austin Victor yang boleh bantu selesaikan masalah ini untuk korang.

Tip #1: Korek segala faedah ekstra dan kelebihan bagi setiap servis yang ada. 

Banyak syarikat yang tawarkan servis ini berikan tambahan selain sekadar servis Internet sahaja.

Antara yang menarik adalah seperti pelan UniFi dan HyppTV, atau TIME Fibre Home Broadband yang datang sekali dengan pakej Astro.

Ini adalah kelebihan yang ditawarkan kepada pelanggan mereka.

Selain itu, ada juga pakej seperti Maxis Fibre Internet yang berikan rebat dan gajaran diskaun kepada bil telefon. Ini boleh jimatkan kos penggunaan yang pelanggan perlu bayar setiap bulan.

Pelan Internet yang terbaik adalah yang berikan kelebihan dari segi rebat, seperti:

  • tanpa perlu bayar yuran pendahuluan,
  • pemasangan percuma, atau
  • servis Internet percuma untuk bulan pertama.

Ini adalah contoh kelebihan yang pelan P1 Broadband berikan kepada pelanggan mereka.

Adalah perkara biasa kita akan kena caj lebih kalau nak servis tambahan ini. Atas sebab ini, kita boleh kaji dan pastikan dulu bentuk penggunaan kita.

Rugi dan membazir kalau bayar untuk perkara yang kita tak gunakan.

Kita tak rajin tengok TV dan gunakan telefon rumah? Ambil pelan yang tak ada perkhidmatan ini (kecuali kita dapat servis ini secara percuma). Kalau kita guna, cuba kaji pelan yang sediakan perkhidmatan dan kelebihan tambahan ini dalam satu kontrak.

Tip #2: Kaji dan baca ulasan (review) kelajuan dan kapasiti setiap pakej Internet. 

Perkara utama semasa membeli servis ini adalah kelajuan dan kapasiti untuk kegunaan kita.

Pembekal perkhidmatan boleh berikan klaim (claim) yang servis mereka lebih daripada X Mbps. Tapi ada juga yang tak dapat kelajuan dan kapasiti seperti yang tertulis dalam pamplet mereka.

Elakkan perkara ini dengan baca setiap ulasan oleh pengguna servis sedia ada. Kita juga boleh selidik perkara ini dalam forum pengguna tentang kelajuan sambungan Internet daripada pembekal tertentu di kawasan kita.

Kita boleh baca dan tumpukan sepenuh perhatian kepada terma yang tertulis dalam kontrak sebelum membeli.

Ada sahaja pembekal servis buat klaim yang mereka berikan kelajuan yang pantas. Tapi kelajuan itu hanya untuk penggunaan pada waktu tengah malam (masa orang tengah tidur). Baca dengan teliti setiap tulisan kecil atas kontrak dan pamplet.

Beli servis mengikut kapasiti penggunaan kita. Kalau setakat nak buat kerja, membalas e-mel dan membaca blog dan kurang “streaming” video, boleh dapatkan servis dengan kelajuan Internet yang biasa sahaja.

Bagi yang kuat main game online dan suka “download” musik dan movie, boleh sahaja dapatkan kelajuan Internet yang lebih tinggi.

Kebanyakan pembekal servis Internet tawarkan kelajuan dan kapasiti tanpa had. Dan ada juga servis dimana kelajuan akan jadi rendah selepas melebihi tahap kuota yang mereka sediakan.

Kita boleh kaji dan pastikan perkara ini dahulu. Ini dapat elakkan kita daripada dicaj bayaran tambahan untuk tingkatkan kelajuan dan kapasiti servis Internet.

Tip #3: Gunakan tempoh “cooling-off” sebagai kelebihan kita.

Tempoh “cooling-off” adalah satu tempoh masa yang pembekal berikan kepada pelanggan untuk cuba servis mereka. Jika prestasi servis tak menepati jangkaan yang sepatutnya (dalam satu tempoh masa), kita boleh dapatkan pulangan duit semula.

Ada juga pembekal yang berikan pulangan 100% jika pelanggan rasakan servis mereka tak berbaloi.

Tapi, jaga-jaga. Tak semua janji manis indah belaka.

Banyak syarikat yang gunakan ini sebagai strategi untuk tingkatkan jualan mereka. Ia lebih banyak digunakan sebagai langkah promosi supaya pelanggan tak teragak-agak nak beli.

Tambahan pula, agak sukar nak buktikan servis mereka tak memuaskan.

Kalau kita bijak gunakan kelebihan ini, ia boleh jadi platform untuk dapatkan servis yang terbaik kat sekitar kediaman kita. Amalkan baca sampai habis pasal sesuatu servis sebelum bertindak membeli. Kalau ada perkara yang kita nak tahu, boleh tanya terus kepada pembekal servis.

Berikan perhatian kepada promosi yang syarikat pembekal servis ini jalankan. Ambil pamplet atau risalah mereka, dan mula buat perbandingan dari pelbagai sudut. Yang penting, dah tentu kita tak nak guna servis yang buatkan kita rasa rugi, betul betul?

Tip Bonus: Sentiasa berjaga-jaga dengan kos ‘tersembunyi’ ini. 

Ada sesetengah kondominium atau SOHO (Small Office/Home Office) dibina di kawasan komersial, dan ini menarik pembekal servis untuk gunakan peluang yang ada.

Jika nak dapatkan servis Internet di kawasan sebegini, pembekal akan caj lebih mahal daripada harga biasa. Tak kita sama ada kita buat bisnes, atau sekadar gunakan Internet untuk ‘surfing’ biasa.

Ini adalah perkara yang ramai orang tak suka, dan kita sentiasa berharap agak pihak pemaju dan pembekal servis Internet berikan sepenuh tumpuan untuk selesaikan masalah ini.

Sebelum perkara atas ini jadi realiti, kita boleh atasi masalah ini dengan tanya soalan yang betul sebelum bertindak membeli daripada mereka.

Luangkan masa untuk kunjungi cawangan pembekal servis dan berikan detail (alamat rumah) untuk mereka periksa. Tanya mereka apakah pakej yang sesuai untuk kawasan yang kita tinggal itu. Jika ada caj komersial, cari pembekal servis Internet yang lain. Pilihan 100% ditangan kita.

Perkara ini boleh pengaruhi kesihatan kewangan anda. 

Tok tahu ada golongan yang rasakan proses memilih servis Internet bukan satu kerja yang sukar. Tapi, ramai yang rasa seperti ini menyesal di kemudian hari. Setakat campak duit (dalam lingkungan RM150++), semua orang boleh buat, kan?

Tapi pada akhirnya, adakah ia berbaloi atau tak? Adakah kita dapat nilai yang setimpal dengan apa yang kita bayar?

Adalah satu pembaziran kalau bayar (dengan duit yang susah-payah kita cari) untuk servis yang tak tepati jangkaan kita. Ini melibatkan isu komitmen bulanan, dan ia bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan. Kalau salah urus duit, walaupun sekadar bab ini, ia ada potensi berikan impak negatif kepada kewangan kita.

4 Shares

Leave a Reply