PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

3 kesalahan tentang duit ini akan rugikan anda (sehingga jutaan ringgit)

Ini ayat Warren Buffet yang elok kita selami dalam-dalam:

“Sikap tak nak ambil tahu dengan apa yang kita buat, adalah punca lahirnya risiko.”

Dan ini adalah sebab utama ramai rakyat Malaysia gagal dalam merancang dan mengurus kewangan mereka dengan baik.

Kajian iMoney dedahkan yang purata rakyat Malaysia rugi kira-kira RM1.5 juta sepanjang hayat mereka.

Ini satu hakikat yang kita kena telan. Kalau nak elak perkara ini, kita kena buat rancangan awal-awal. Bukan dah terhantuk, baru nak mengadah.

Tok nak kongsikan tullisan Tuan Yap Ming Hui, supaya ramai orang tak buat lagi kesilapan ini (termasuk korang yang tengah baca sekarang ini).

Ini adalah 3 kesilapan yang ramai orang buat, dan boleh rugikan duit kita hingga jutaan ringgit.

Sebab #1: Tak optimumkan keuntungan dalam pelaburan yang anda buat

Ini satu fakta (dan Tok pasti ramai yang tak suka akui perkara ini). Rakyat Malaysia suka buat pelaburan jenis simpanan tetap (fixed deposit).

Ramai yang jadikan ini sebagai alat pelaburan utama, dan mereka ingat ia boleh berikan kadar keuntungan yang bagus.

Betul ke? Jom kita buat kira-kira sikit.

Dengan laburkan RM1,000 setiap bulan (untuk jumlah pelaburan bernilai RM240,000) dalam akaun simpanan tetap (fixed deposit) selama 20 tahun, pada purata 3% faedah setahun, jumlah keuntungan bersih yang kita akan dapat adalah RM329,122.75.

Not bad. Tapi kan…

Kalau korang laburkan jumlah yang sama kat kenderaan pelaburan yang lain (seperti Unit Amanah, pelaburan saham, atau ASB), yang kadar keuntungan sekitar 8% (atau lebih) selama setahun, korang boleh dapatkan untung sebanyak RM592,947.22.

Mana lagi best?

Tok rasa, dah cukup jelas untuk kita bandingkan mana satu yang berikan untung lebih banyak.

Bila kita kaji balik, simpanan tetap akan rugikan korang sekitar RM263,824.47. Dan lagi teruk kalau korang biarkan duit kat dalam akaun simpanan biasa, yang berikan untung sekitar 1% hingga 2% setahun.

Sebab #2: Buat bayaran yang melampau untuk premium insuran

Tok tak nafikan. Perlindungan insuran hayat adalah penting. Lagi-lagi kalau korang ada macam-macam tanggungan kewangan.

Mari kita pertimbangkan 2 produk insuran hayat untuk orang yang berumur 35 tahun.

Insuran berterma (term insurance) bernilai RM500,000 akan menelan kos sebanyak RM1,625 setahun.

Dan insuran berpolisi hayat seumur hidup pula akan telan kos sebanyak RM14,225 setahun.

Mana satu yang korang patut ambil?

Kalau ambil insuran berterma (term insurance), korang boleh jimat RM12,600 setahun. Dan lebihan ini, boleh kita gunakan untuk pelaburan lain.

Dengan kadar untung sebanyak 8% (seperti yang kat No #1 tadi) selama 20 tahun, korang akan untung RM576,000!

Katakan, korang ambil insuran hayat, dengan andaian korang menerima keseluruhan premium yang dibayar (RM14,225 X 20 tahun). Korang hanya akan dapat untung sebanyak RM284,500.

Korang akan rugi sebanyak RM292,100 secara keseluruhan. Dan jumlah ini bukan sikit tau. Kalau korang, nak pilih yang mana satu?

Sebab #3: Gagal menyimpan lebih banyak bila pendapatan anda meningkat

Pengurusan kewangan sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Kalau pendapatan semakin meningkat, tingkatkan taraf hidup bukan satu jawapan yang baik.

Ramai yang buat benda ni. Asal naik pangkat dan gaji je, nak tukar kereta. Nak beli baju berlambang kuda (yang beratus ringgi sehelai). Nak tukar smartphone jenama buah. Tukar itu ini.

Ini digelar sebagai inflasi gaya hidup (lifestyle inflation).

Semua ini akan meningkatkan kos hidup yang tak berikan sebarang faedah. Akibatnya, simpanan kita akan terkesan secara negatif.

Tak elok kalau kita teruskan hidup macam ini. Kan lebih bagus kalau kita tingkatkan simpanan, seiring dengan gaji yang semakin meningkat itu? Lagi untung.

Jom kita buat perbandingan.

Orang yang tahu nak optimumkan kekayaan mereka akan kekalkan gaya hidup semasa (atau lebih berjimat-cermat), walaupun pendapatan meningkat naik.

Dan mereka lebih sanggup menyimpan daripada berbelanja tak tentu hala.

Katakan. Kalau mereka melabur RM1,000 sebulan pada kadar pulangan sebanyak 5% setiap tahun (untuk pelaburan selama 20 tahun), mereka akan tambah kekayaan mereka sebanyak RM863,457.

Setiap kesilapan yang jadi akan rugikan korang. Kerugian ini pula, boleh cecah tahap tak masuk akal. Dan kita tak mampu nak pusing masa balik.

Yang dah lepas, biarkan lepas. Biarkan ia jadi pengalaman dan tauladan, supaya korang tak ulang balik kesilapan yang sama.

Jadi, teliti setiap keputusan kewangan yang korang buat. Setiap orang ada peluang untuk kaut untung banyak. Tak elok bazirkan peluang ni tau.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *